![]() |
Tips Tenangkan Hati– Alhamdulillah, artikel saya masuk majalah! Gembira dan bahagia kerana dapat memberi sesuatu kepada orang di luar sana. Sesungguhnya, ramai di luar sana yang mempunyai jiwa-jiwa yang sakit tenat. Walaupun badan nampak sihat, hati sedang mati. Jom kita korek tips tenangkan hati dari penulisan saya ini. Semoga bermanfaat!
Hari Yang Hairwire!
Hari minggu kali ini segalanya serabut dan kelam kelibut. Bangun pagi sahaja, terus kelam-kabut menguruskan anak-anak. Anak-anak pula luar biasa ragamnya hari ini. Si kakak sulung yang biasanya baik dan sopan, mengamuk tidak tentu pasal entah kenapa. Diperiksa suhu badan, semuanya normal. Sang adik yang juga selalu sahaja bermood baik, hari ini menangis sahaja. Dukung tidak kena, letak juga tidak kena. Kembung perut agaknya! Jadilah rumah ibarat seperti pesta nurseri dengan jeritan dan tangisan silih berganti. Hari minggu yang kebiasaannya dinikmati dengan selesa dan gembira, terpaksa dihabiskan dengan penuh sesak jiwa hingga ke malam. Assignment yang diberikan bos juga yang sepatutnya disiapkan segera, langsung tidak dapat disentuh. Buku yang dirancang untuk dihabiskan pada hujung minggu, juga langsung tidak dibuka. Ada sahaja halangannya! Hingga menjelang tengah malam, dengan harapan semua orang dah tidur, bolehlah membuat assignment dengan tenang, letrik pula putus! Makanya, laptop tidak dapat dibuka, diri pula terpaksa menanggung kepanasan ditambah gangguan dari sang nyamuk. ‘Hairwire’ nya hujung minggu kali ini!
Pernahkah anda merasakan seperti situasi ini? Semuanya tidak kena dan jiwa terasa sempit. Saya teringat akan cerita 3 orang sahabat nabi yang tertinggal Perang Tabuk kerana begitu asyik memungut hasil kurma yang sedang masak ranum. Apabila telah selesai urusan mereka, bersiaplah mereka untuk ke Perang Tabuk, tetapi Rasulullah saw dan sahabat yang lain sudah balik dari perang. Akhirnya, mereka menjadi orang yang tertinggal! Allah dan RasulNya memerintahkan semua sahabat dan keluarga mereka untuk memulaukan mereka hinggalah mereka berasakan jiwa begitu sempit!
“dan terhadap 3 orang yang ditinggalkan. Hingga ketika bumi terasa sempit bagi mereka, padahal bumi itu luas dan jiwa mereka pun telah terasa sempit bagi mereka, serta mereka telah mengetahui bahawa tidak ada tempat lari dari seksaan Allah, melainkan kepadaNya saja, kemudian Allah menerima taubat mereka agar mereka tetap dalam taubatnya. Sesungguhnya Allah Maha Penerima Taubat, Maha Penyayang” (Surah At-Taubah: 118).
Sempit dada dan jiwa! Itulah sunnatullah bagi orang beriman yang kadangkala larut dengan dunia. Allah akan menimpakan perasaan gundah dan menyusahkan kehidupannya. Tiada solusi lain daripada masalah ini, selain daripada bertaubat dan kembali kepada Allah!
Jom mencari ketenangan!
Jika kita menyedari hati kita sedang sakit saat ini, masa kita seakan-akan ditarik barokahnya oleh Allah, maka kembalilah kamu kepada Allah lewat membaca ayat-ayat cinta dari Allah. Bukalah kembali lembaran-lembaran Al-Quran yang sudah berhari-hari kita tinggalkan kerana kesibukan yang tidak pernah ada penghujungnya, tadaburlah dengan perlahan sambil memaknai motivasi cinta dari Allah. Moga-moga hati kita boleh hidup kembali dan cinta Allah kembali merajai diri kita, bukan cinta kepada manusia mahupun harta.
Rasulullah SAW bersabda:
“Sesungguhnya orang yang dalam hatinya tidak ada sesuatu apapun dari al-Quran maka ia adalah seperti rumah yang kosong.” (HR At-Tirmidzi).
Menjadi tetamu Allah!
Carilah juga Allah lewat rintihan dan munajat kita kepada Allah melalui tahajud-tahajud kita. Jika sebelum ini, mudah sahaja kita bangun buat berdua-duaan dengan Allah, tetapi mengapa sekarang sangat liat? Sudah terjaga berkali-kali tetapi nampaknya tidur lebih terasa kenikmatannya. Seorang ulamak salafus soleh bernama Ibrahim Adham memberikan tips untuk bangun tahajud apabila ditanya oleh seseorang. Katanya, “ Janganlah engkau menentang Allah di siang hari, kelak Allah akan mengizinkan engkau hadir bertemu denganNya di malam hari. Pertemuan di malam hari adalah suatu penghormatan tertingi. Para pendosa tiada tempat di majlis pertemuan ini.
Hassan Al-Banna juga pernah berkata, ‘Jika kita tidak mampu untuk bangun tahajud pada malam hari, sesungguhnya rahmat Allah telah tertutup untuk kita disebabkan dosa yang telah kita lakukan pada hari sebelumnya”.
Jom hidupkan hati….
Kehidupan ini memang memerlukan hati yang hidup dengan sinaran iman dan dirajai dengan cinta Allah. Jika tidak, kita akan berasa lesu, hilang semangat, rasa berasa sempit jiwa dan raga. Kita sangat memerlukan Allah dalam kehidupan kita. Tidak dapat dibayangkan hidup sebagai seorang kafir ataupun ethis (tidak percayai Tuhan), mungkin itu sebab betapa ramai orang yang apabila berhadapan masalah yang menyempit jiwa, mereka tidak teragak-agak untuk membunuh diri kerana tiada lagi tempat bergantungan. Alhamdulillah, kita ada Allah!
Pesanan Imam al-Ghazali : “Carilah hatimu di tiga tempat. Temui hatimu sewaktu bangun membaca al-Quran. Tetapi jika tidak kau temui, carilah hatimu ketika mengerjakan solat. Jika tidak kau temui juga, carilah hatimu ketika duduk tafakur mengingati mati. Jika kau tidak temui juga, maka berdoalah kepada Allah, pinta hati yang baru kerana hakikatnya pada ketika itu kau tidak mempunyai hati!”.
Jom juga baca artikel tentang Cara Hilangkan Stress.