Apa Itu Kanser Kolon (Kanser Usus)?
KANSER kolon merupakan kanser yang terdapat di dalam usus besar (kolon) iaitu bahagian bawah sistem pencernaan anda. Kanser rektal pula terdapat di lapan hingga 10 inci terakhir kolon.
Apabila kedua-duanya bergabung, ia dikaitkan dengan kanser kolorektal dan menjadi punca kedua kematian yang melibatkan kanser di Malaysia terutamanya kaum lelaki.
Dalam kebanyakan kes, kanser kolon bermula daripada gumpalan sel-sel bukan kanser (benigna) yang dikenali sebagai polipus adenoma. Lama-kelamaan, polipus-polipus yang berbentuk seakan cendawan ini akan berubah menjadi kanser.
Polipus-polipus yang agak kecil tidak menunjukkan banyak simptom. Namun demikian, jika terdapat sebarang tanda, dapatkan ujian penyaringan secara konsisten untuk membantu menghalang kolon kanser.
Simptom-Simptom Kanser Kolon
Seperti kebanyakan pesakit kanser kolorektal, anda mungkin tidak mempunyai sebarang simptom di tahap awal penyakit ini. Simptom- simptom berbeza bergantung saiz kanser dan kedudukannya di dalam usus besar.
Dalam beberapa kes, simptom-simptom ini mungkin terjadi bukan disebabkan kanser tetapi penyakit usus radang, sindrom usus rengsa dan kadangkala divertikulitis. Berjumpalah doktor sekiranya:
- Perubahan di dalam tabiat usus termasuk diarea/cirit-birit atau sembelit atau perubahan tabiat membuang air besar anda buat beberapa minggu.
- Najis yang sempit.
- Perdarahan rektal atau najis berdarah
- Rasa tidak selesa pada abdomen yang berterusan seperti kekejangan, angin atau rasa sakit.
- Abdomen sakit apabila membuang air besar.
- Rasa seperti usus tidak dikosongkan sepenuhnya.
- Kehilangan berat badan yang tidak diketahui puncanya.
- Darah di dalam najis mungkin menunjukkan tanda-tanda berlakunya kanser tetapi ia juga boleh menunjukkan keadaan-keadaan lain.
Faktor-Faktor Risiko
- Kanser kolon dan rektal boleh merebak tanpa mengira usia, dan tiada siapa yang terlalu muda untuk mendapat kanser kolorektal. Kira- kira 90 peratus pesakit berusia lebih 50 tahun.
- Jika anda pernah mempunyai kanser kolorektal atau adenoma polipus, anda berisiko lebih tinggi untuk menghidap kanser kolorektal pada masa akan datang. Kebarangkalian anda menghidapi kanser kolorektal adalah tinggi sekiranya ahli keluarga anda mempunyai penyakit tersebut.
- Kanser kolon dan rektal mungkin dikaitkan dengan diet yang rendah fibernya dan tinggi dalam lemak dan kalori.
- Apabila anda tidak aktif, sisa-sisa buangan akan berada di dalam kolon anda dengan lebih lama. Dengan melakukan aktiviti fizikal secara teratur akan mengurangkan risiko kanser merebak.
- Pesakit diabetes mempunyai sehingga 40 peratus risiko kanser kolorektal.
- Terdapat lebih 1:10 penyakit kanser kolorektal yang mengakibatkan maut berpunca daripada merokok. Jika anda pernah didiagnosis dengan kanser kolorektal, perokok mempunyai 30 hingga 40 peratus risiko untuk meninggal dunia disebabkan penyakit yang mendatangkan maut ini.
- Terlalu banyak mengambil alkohol.
Jika terdapat simptom-simptom kanser kolorektal seperti darah di dalam najis atau perubahan yang berterusan dalam tabiat bowel anda, sila berjumpa doktor dengan segera.Perlu diingat bahawa kanser kolorektal boleh menyerang orang muda dan tua. Jika anda tergolong dalam golongan yang berisiko tinggi, segeralah berjumpa dengan doktor untuk melakukan ujian penyaringan sebelum simptom-simptom penyakit itu muncul.
Kaedah Rawatan
Jenis rawatan yang dicadangkan oleh doktor bergantung pada peringkat kanser yang dialami. Tiga pilihan rawatan yang primer adalah surgeri, kemoterapi dan radiasi. Pembedahan (kolektomi) adalah rawatan utama bagi kanser kolorektal.
Berapa banyak kolon anda dibuang atau sama ada terapi-terapi lain seperti radiasi atau kemoterapi merupakan satu pilihan untuk anda, bergantung pada sejauh mana kanser itu menembusi dinding usus anda dan sama ada ia telah merebak ke limfa nodus atau bahagian tubuh anda yang lain.