Senda Gurau Dalam Rumahtangga
Balik kerja si suami terus menghadap televisyen. Lepas satu per satu rancangan televisyen dialihkan untuk memenuhi cita rasa dirinya. Sesekali mata menghala ke skrin telefon bimbit dan tangan menaip pantas sambil mata berselang menonton tv. Jeritan dan tangisan sang anak seakan hilang ditelan bunyi tv yang kuat. Si isteri pula sibuk di dapur mengurusi pinggan mangkuk yang tidak berbasuh, bersambung pula melayani kerenah anak-anak yang tiada penghujungnya. Jauh di sudut hati sang isteri mula timbul perasaan marah tidak puas hati dengan perangai sang suami yang makin hari makin menjadi. Malas ingin ditegur, tidak mahu merosakkan keheningan petang, lebih baik diam sunyi memakan hati sendiri. Tiada bicara antara suami dan isteri. Cukuplah komunikasi mereka sekadar, ‘Jom makan” “Tolong ambil pinggan” “Tukarkan pampers anak”. Seakan rumah itu dihuni dan dipandu oleh dua orang robot yang sibuk menjalani kehidupan yang sudah diprogramkan. Sama sahaja setiap hari. Betapa banyak rumahtangga di luar sana yang mulai lesu dan retak, hanya menunggu masa untuk belah sahaja. Semuanya kerana bermula daripada hal-hal temeh sekecil ini. Sang suami kaku langsung tidak pedulikan hal isteri dan anak. Handphone dan televisyen nampaknya lebih menarik perhatiannya.
Lihatlah masyarakat kita pada hari ini, tanggungjawab mengurusi rumahtangga dan anak-anak diserahkan sepenuhnya di tangan sang isteri, sedangkan suami sibuk bekerja dan melayani urusan sendiri. Isteri disisihkan, anak-anak terabai. Lihatlah di dada-dada akhbar, betapa banyak berlakunya kes kecurangan isteri, betapa meluasnya kerosakan akhlak para remaja kerana tidak mendapat perhatian sang ibu dan ayah yang sibuk kononnya sibuk tidak berkesudahan. Semuanya kesan daripada kekakuan sang suami yang langsung tidak berusaha mencipta iklim yang ceria dan bahagia di dalam rumah. Si isteri mula merasakan orang lain lagi boleh membahagiakannya. Si anak pula beranggapan kawan dan temannya lebih memahami perasaan dan jiwanya. Keharmonian keluarga makin menjadi gersang dan tandus. Akibatnya, terjadilah perlakuan-perlakuan buruk yang dapat menjatuhkan maruah keluarga itu sendiri.
Para pembaca, sangat penting dalam sesebuah rumahtangga untuk diselitkan suasana senda gurau untuk menggamit ceria dan bahagia. Secara semulajadinya seorang wanita itu adalah makhluk yang sukar untuk diramal keadaan, perasaan dan tindakannya. Kadangkala terlebih bahagia! Di pertengahan bahagia dan gembira itu, tiba-tiba sahaja boleh bertukar angin menjadi ribut taufan yang menggoyahkan sabar si suami. Tidak panas lagi kemarahan yang diciptakannya tiba-tiba tadi, dia kembali bersikap baik dan sopan seperti tiada apa-apa, tanda sesal akan perlakuannya tadi. Tapi, sesalnya itu tidak bertahan lama, anginnya mungkin berhembus lagi jika tidak cukup berhati-hati, betul-betul menguji sabar sang suami! Apakan daya, sudah menjadi fitrah seorang wanita itu diciptakan lemah dan mudah kalah dengan emosinya. Emosinya banyak dipengaruhi oleh turun naik hormonnya bilamana ia mengalami banyak fasa dalam kehidupannya. Maka, berhikmahlah dalam mengenali dan berinteraksi dengan isteri tercinta. Jangan sang suami pula yang kalah dengan permainan perasaan yang dicipta oleh sang isteri, nanti anda akan sesal tidak berguna.
Sangat penting untuk seorang suami untuk mewujudkan suasana ceria bahagia dalam rumahtangga. Serius, ia sangat membantu isteri untuk lebih bertenaga dan ceria untuk menghadapi kehidupannya yang penuh dengan tanggungjawab sebagai anak, isteri, ibu dan mungkin pekerja.
Antara senda-gurau yang dianjurkan dalam rumahtangga:
· Memuji masakan isteri, walaupun pada hakikatnya rasanya tidak seberapa. Jangan sekali-kali membandingkan masakan isteri dengan masakan orang lain atau ibu anda.
· Memuji kecantikan pakaian isteri pada hari itu.
· Berkejar-kejaran bersama walaupun aktiviti ini selalunya dilakukan oleh budak tidak cukup usia.
· Berceritakan hal-hal lawak jenaka untuk membangkitkan suasana ceria dan bahagia.
· Ringan mulut untuk berborak dan menceritakan perjalanan kehidupan hari itu dengan isteri.
Berhati-hati semasa bergurau!
Namun, ada juga segolongan suami yang sering membangkitkan keceriaan dalam rumah tangga dengan bersenda gurau dengan isteri mereka, namun matlamat kadangkala langsung tidak menghalalkan cara. Ada yang cuba bergurau dan bersenda gurau bab poligami untuk membangkitkan suasana ceria, dengan mengatakan, “Abang nak kahwin lagilah…”, “Apabila sayang meninggal nanti, abang akan cepat-cepat mencari mak baru untuk anak kita…”, “Tengok orang lain, boleh kahwin empat!” Gurauan yang kononnya boleh menceriakan suasana, tetapi hakikatnya sedikit demi sedikit ianya membina benteng kebencian sang isteri kepada suaminya. Jika ingin bergurau, pilihlah cara gurauan yang ringan, bersopan dan dijamin tidak menyakiti hati sang isteri.
Ada juga suami yang kononnya berasakan sudah cukup menjaga hati isteri, namun kadangkala kata-kata yang dikeluarkan cukup menghiris hati sang isteri. “Sedapnya masakan sayang, tapi sedap lagi masakan kakak kedai tu,”… “Sayang cantiklah hari ni, macam Minnie Mouse”. “Sayang ni ada masalah warna ye, warna baju dengan tudung pun tak padan”. Ábang tengok sayang ni dah makin membesarlah.” Betapa ramai saya dengar memiliki suami yang memang suka bersenda gurau kerana itu sememangnya tabiat mereka, tetapi langsung tidak menjaga hati isteri dalam gurauan mereka. Jika emosi isteri dalam keadaan baik hari itu, diterima gurauan itu dengan hati yang lapang tanpa memendam rasa. Silap hari bulan, terkena pada hari emosi isteri sedang berkecamuk, disimpannya dendam itu hingga ia akan meletuskan larvanya apabila ada peluang nanti. Percayalah! Jadi wahai para suami di luar sana, ketahuilah hati isterimu itu sangat sensitif. Jika diberikan kasih dan sayang selayaknya, dia akan membalas sayang itu lebih daripada anda mencintai mereka. Tetapi, jika sayang yang diterima berbaur sindiran yang menyakitkan hati walaupun tidaklah anda berniat begitu, mereka pasti akan menyimpan setiap satu inci kata-kata anda itu, yang menyumbang kepada kurangnya sayang dan setia mereka pada anda, maka beringatlah!